17 March 2026

Alliance Islamic Bank Membawa Sinar Kepada Yang Memerlukan Sempena Ramadan

Press Release

Kuala Lumpur, 17 March 2026 - Bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia, Alliance Islamic Bank (AIS) telah melaksanakan beberapa inisiatif kebajikan bagi memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Alliance Islamic Bank dalam menyantuni masyarakat serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Antara inisiatif utama yang dijalankan termasuk kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui program “Sinar Kasih Ramadan: HER Journey” yang berlangsung di Kuala Lumpur, selain pelaksanaan Program Bantuan Bakul Makanan dan Program Baju Raya di Sarawak.

Seramai 150 peserta program “Sinar Kasih Ramadan: HER Journey” telah menerima bantuan bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Sementara itu di Kuching, Sarawak, bantuan bakul makanan telah disampaikan kepada 200 penduduk Kampung Beradek, Kampung Tiang Api dan Kampung Semilang manakala sumbangan baju raya turut diberikan kepada 150 kanak-kanak asnaf sebagai usaha meringankan beban keluarga yang memerlukan serta membawa keceriaan menjelang musim perayaan.

Ketiga-tiga program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara pihak bank dan masyarakat setempat, Alliance Islamic Bank turut menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Tazkirah Ramadan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Bin Fadzil di Masjid As-Syakirin pada 26 Februari lalu. Program ini bukan sahaja memupuk nilai kesyukuran dan keinsafan dalam bulan Ramadan, malah mengeratkan hubungan antara pihak bank dan komuniti setempat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim “Kami amat bersyukur dapat melaksanakan inisiatif ini dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kerjasama erat bersama Yayasan Kebajikan Negara dan sokongan daripada pejabat Mufti amat kami hargai. Usaha seperti ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan, serta memastikan tiada pihak yang dikecualikan menjelang Aidilfitri.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong komuniti, Alliance Islamic Bank turut menyertai program Ramadan “Sentuhan Prihatin: Bakul Makanan Aidilfitri” anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Berdikari Kuala Lumpur dan Selangor. Melalui penyertaan ini, sumbangan bakul makanan telah disampaikan kepada ahli-ahli persatuan bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan serta sebagai persediaan menyambut Aidilfitri. Selain itu, AIS turut menyokong inisiatif di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) melalui penyediaan pakaian raya kepada dua rumah anak yatim terpilih, serta penganjuran majlis berbuka puasa. sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti setempat.

Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang Ramadan ini, Alliance Islamic Bank berharap dapat terus membawa sinar dan kegembiraan kepada golongan yang memerlukan. Melalui kerjasama erat dengan rakan-rakan strategik serta sokongan berterusan masyarakat, AIS komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi kewangan yang prihatin dan bertanggungjawab.
###