15 February 2023

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank yang Baharu Umum Strategi untuk Menerajui Fasa Pertumbuhan yang Seterusnya

Press Release

EN BM

Kuala Lumpur, 15 Februari 2023 - Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) hari ini memperkenalkan rangka strategi yang dipertingkatkan yang akan memacu pertumbuhan Bank untuk tempoh empat tahun yang akan datang. Pelan ini akan menyasarkan segmen pasaran baharu dan pasaran menegak, pengembangan serantau, menjuarai usaha mampan serta memacu sinergi dan penciptaan nilai melalui inovasi digital dan perkongsian.

“Kami akan memanfaatkan kejayaan yang telah dicapai oleh Bank sehingga kini menerusi strategi yang memberi tumpuan kepada pemilik perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti di mana para usahawan ini beroperasi. Strategi tersebut menyaksikan kami sebagai bank pencabar dengan pendekatan yang mengutamakan komuniti. Ketika itu kami telah membangunkan pelbagai penyelesaian yang inovatif, relevan dan berkesan. Ini termasuklah dalam ruang digital di mana kami menjadi peneraju pasaran dan membantu kami berkembang ke segmen pasaran yang kami pilih,” kata Kellee Kam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, yang mula menerajui Bank pada 1 September 2022.

Bank telah membina DNA organisasi tersendiri yang ditakrifkan oleh ketangkasannya dalam memenuhi perubahan pasaran yang dinamik dan pada masa yang sama mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi kepada pelanggan. Menurut Kam, formula ini telah membuahkan hasil seperti yang dibuktikan oleh kejayaan Bank menakluki bahagian pasaran PKS daripada pemain industri yang lebih besar walaupun dalam tempoh yang mencabar.

“Kami akan meneruskan minda pencabar yang sama ini pada bidang tumpuan yang diperbaharui di bawah strategi transformasi baharu kami, Acceler8, yang sejajar dengan bidang pertumbuhan tinggi lain dalam pasaran kami, untuk memacu fasa pertumbuhan Bank yang seterusnya,” katanya lagi.

Acceler8 akan membimbing pertumbuhan Bank sehingga TK2027 dan menumpukan pada penyediaan penyelesaian yang pantas, mudah dan diperibadikan serta relevan kepada pelanggan walaupun keperluan mereka berubah dan berkembang. Menerusi strategi ini, Bank berhasrat untuk mencapai kedudukan quartil teratas dalam industri untuk pulangan ekuiti. Bank juga akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam metrik bukan kewangan seperti perkhidmatan pelanggan, kepuasan warga kerja dan kemampanan.

Kam berkata bahawa Bank akan mengembangkan fokus perbankan penggunanya untuk menyasarkan segmen pelanggan mewah yang baru muncul termasuk lebih 2.1 juta orang profesional muda di Malaysia. “Kami mahu meluaskan penawaran produk pengguna kami untuk memberi perkhidmatan kepada segmen Pendapatan Tinggi Belum Kaya Lagi atau HENRY (High Earners Not Rich Yet) serta individu yang memiliki nilai bersih yang tinggi. Para individu dalam segmen HENRY mempunyai keperluan kewangan yang semakin meningkat dan kami pula akan berada pada kedudukan yang baik untuk memberi sokongan dan menjadi rakan kongsi dalam perjalanan mereka mencapai matlamat dan aspirasi hidup,” katanya, sambil menambah bahawa secara keseluruhan, Bank mahu menyokong keperluan perniagaan dan individu pada setiap peringkat kitaran hidup mereka.

Bank juga akan meluaskan jangkauannya meliputi segmen perniagaan menegak yang lain termasuk sektor pendidikan, tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan dengan menyediakan pelbagai penawaran komprehensif daripada fungsi perbankan perniagaan, korporat, Islam dan pengguna Bank. Selain itu, kehadiran perniagaan di negeri-negeri dan bandar-bandar sekunder yang sedang pesat membangun akan diperkukuh untuk meletakkan Bank pada kedudukan yang terbaik bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan di koridor ekonomi ini.

Bank akan terus menggalakkan amalan ESG dalam kalangan masyarakat, untuk memberi impak positif kepada masyarakat, ekonomi dan planet ini. “Pendekatan kami terhadap perkara ini ditakrifkan oleh 3A iaitu sokongan (advocacy), nasihat (advice) dan jawapan (answer); di mana kami mewujudkan kesedaran, menggalakkan dan membolehkan pengguna dan perniagaan menerima pakai amalan ESG,” kata Kam, sambil menambah bahawa Bank menawarkan penyelesaian ESG yang unik dan inovatif kepada pelanggannya melalui perkongsian strategik yang akan dibina dan dikembangkan secara berterusan.

Satu lagi segmen pertumbuhan bagi Bank ialah perniagaan Perbankan Islam di mana kewangan Islam terus menjadi segmen yang paling pesat berkembang dalam pasaran. Kam berkata bahawa Alliance Bank telah mula membentuk cadangan unik untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam segmen ini seperti Halal in One dan pembiayaan mampan. Halal in One merupakan penyelesaian sehenti Bank yang menyediakan perkhidmatan nasihat persijilan Halal, pembiayaan patuh Syariah dan akses pasaran Halal untuk PKS bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Bank juga akan terus membina perkongsian strategik untuk meluaskan penawaran dan pengagihan produknya secara lebih efisien dan mewujudkan lebih nilai untuk para pelanggan.

Kam menjelaskan Bank akan meningkatkan aktiviti pelanggan di kawasan kejiranan di mana cawangan Bank berada demi menghayati semangat komuniti. Lebih banyak aktiviti penglibatan seperti rumah terbuka dan acara komuniti akan dilancarkan bertujuan menjalin hubungan yang bermakna dengan komuniti dan menjadikan cawangan Bank sebagai pusat tumpuan di kawasan kejiranan tersebut.

“Untuk berjaya dalam jangka masa panjang, kami perlu proaktif dalam melihat pasaran tempat kami beroperasi dan sejauh mana kedudukan kami. Berlatarbelakangkan suasana pemulihan ekonomi, kami kekal positif dalam memenuhi cita-cita pertumbuhan kami di bawah Acceler8 melalui transformasi yang telah dirancang dalam teknologi, penjenamaan, budaya, kemampanan, perkhidmatan pelanggan dan bidang utama perniagaan kami yang lain.” Kam berkata.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Alliance Bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/.