14 October 2021

Industri perbankan dengan kerjasama AKPK membantu rakyat Malaysia yang paling terjejas dengan sumbangan dianggarkan bernilai RM1 billion.

Press Release

Kuala Lumpur, Khamis, 14 Oktober 2021 - Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober 2021, industri perbankan yang diwakili oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), dengan sukacitanya mengumumkan sokongan berterusan kepada segmen pelanggan individu yang paling terjejas melalui pelanjutan skim bantuan kewangan yang lengkap. Objektif skim ini adalah untuk membantu pelanggan B50 yang layak bagi meringankan masalah kewangan yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

Pihak bank telah bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menawarkan skim baharu yang dinamakan Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (URUS) kepada pelanggan individu. AKPK ialah sebuah agensi yang menawarkan penyelesaian pengurusan kewangan holistik bagi isi rumah, meliputi pengurusan hutang, pendidikan kewangan dan nasihat kewangan. Ini bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan yang bermakna dan lengkap agar dapat menjana ketahanan kewangan jangka panjang.

Sokongan yang disediakan oleh URUS akan memberi ruang kelegaan kepada pelanggan individu serta peluang untuk mengukuhkan kembali keadaan kewangan mereka. Skim ini bakal melihat pihak bank memperuntukkan sebanyak RM1 billion untuk menampung kos daripada pengurangan kos faedah/keuntungan termasuk pengecualian faedah/keuntungan untuk pelanggan B50 yang terjejas.

Skim ini terbuka kepada pelanggan individu, berdasarkan permohonan, yang berada di bawah program bantuan bayaran balik seperti Bantuan Bayaran Balik Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, penjadualan dan penstrukturan oleh bank masing- masing dan seumpamanya, pada 30 September 2021, dan memenuhi kriteria berikut:

  • Dari segmen B50, iaitu pelanggan dengan pendapatan kasar isi rumah RM5,880 atau kurang, berdasarkan definisi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Bukti pendapatan isi rumah diperlukan bagi pelanggan yang tidak berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
  • Mengalami salah satu daripada yang berikut:
    • kehilangan pekerjaan; atau
    • pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.
  • Mempunyai pinjaman/pembiayaan yang tiada tunggakan sehingga 90 hari, pada hari permohonan.

Di bawah URUS, AKPK akan membantu pelanggan dengan merangka pelan kewangan peribadi yang dibuat secara holistik, iaitu dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan kemampuan untuk membayar balik semua obligasi kewangan mereka. Pelan kewangan tersebut merangkumi pilihan-pilihan berikut:

  1. Pengecualian faedah/keuntungan selama 3 bulan, bermula daripada bulan selepas pelanggan menyertai skim; atau
  2. Pengecualian faedah/keuntungan selama 3 bulan bersama pengurangan ansuran sehingga 24 bulan secara keseluruhannya. Semasa tempoh ini, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan peribadi dan kad kredit juga akan mendapat manfaat daripada pengurangan kadar faedah/keuntungan untuk mengurangkan beban kewangan mereka.

AKPK akan memantau pelan kewangan sepanjang tempoh program dan menilai semula pelan dengan pihak bank apabila keadaan kewangan peminjam/pelanggan menjadi lebih baik. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma kepada peminjam/pelanggan.

Peminjam/pelanggan individu yang memenuhi kriteria boleh memohon untuk menyertai URUS melalui salah satu daripada bank-bank mereka bermula daripada 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022. Pihak bank akan memaklumkan kepada peminjam/pelanggan tentang proses permohonan menghampiri tarikh ini. Pihak bank dan AKPK komited untuk memudahkan dan melancarkan proses permohonan bagi peminjam/pelanggan.

URUS melengkapi pelbagai pakej bantuan yang ditawarkan oleh pihak bank dan AKPK untuk membantu pelanggan yang terkesan. Di AKPK, isi rumah yang terkesan dan pelanggan PKS boleh mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang yang lain seperti Program Pengurusan Kredit (PPK), Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) dan Skim Sokongan Ketahanan Kewangan (FIRST). Setiap program ini mempunyai ciri-ciri seperti pengurangan ansuran bulanan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan ketahanan kewangan.

Dengan lebih banyak sektor ekonomi yang dibuka, kami menjangkakan perniagaan akan mula pulih dan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan. Walaupun masa diperlukan untuk melihat impak pemulihan sepenuhnya, bank-bank terus komited untuk membantu peminjam/pelanggan yang terkesan.

Peminjam/pelanggan yang tidak memenuhi kriteria URUS dinasihatkan agar menghubungi bank masing-masing untuk berbincang tentang pilihan bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang sesuai dengan keadaan kewangan peminjam/pelanggan.

Perincian mengenai URUS akan dipaparkan di laman web bank-bank dan AKPK.

Pelanggan diingatkan untuk berwaspada dengan ejen palsu dan hanya memohon sebarang bantuan kewangan melalui saluran rasmi bank. Pelanggan bank juga dinasihatkan agar tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa diri sebagai ejen/wakil bank berkaitan dengan bantuan bayaran balik. Pihak bank dan AKPK tidak melantik atau menggunakan khidmat pihak ketiga atau ejen untuk tujuan ini.

Mengenai Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM))

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dianggotai oleh 26 bank perdagangan yang beroperasi di Malaysia. Objektif utama ABM ialah untuk mempromosikan pewujudan sistem perbankan yang kukuh melalui kerjasama dan perundingan dengan badan pengawal selia. Berpandukan penyataan misi ABM, “Memupuk kefahaman orang ramai demi industri perbankan yang bertanggungjawab dan responsif”, ABM memainkan peranan sebagai perantara penting antara pelanggan perbankan dan bank anggotanya. ABM bermatlamat untuk memudahkan dan mewujudkan persekitaran perbankan yang berdaya saing dan kondusif di samping menggalakkan amalan perbankan yang beretika dan teratur. Untuk maklumat lanjut, layari www.abm.org.my.

Mengenai Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) ditubuhkan pada 1995. AIBIM kini dianggotai oleh 26 bank, 11 daripadanya bank tempatan, 5 institusi kewangan pembangunan dan 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia. AIBIM mempromosi sistem dan amalan perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam. Untuk maklumat lanjut, layari www.aibim.com.

Mengenai Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)

ADFIM ditubuhkan pada 12 Januari 1981 dengan hanya 10 anggota dan kini sehingga 16 organisasi turut bersama dengan matlamat meningkatkan ilmu, kepakaran dan kecekapan dalam semua aspek pembangunan kewangan dan penyelidikan dalam kalangan anggotanya. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan pembentukan struktur institusi yang kukuh untuk pembiayaan pembangunan dan menggalakkan amalan yang kukuh dalam perniagaan dan profesion pembiayaan pembangunan dan perbankan pembangunan di Malaysia.

Anggota ADFIM terbahagi kepada dua kluster utama, iaitu:-

  1. Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang terdiri daripada lima bank di bawah Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002 termasuk Agrobank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank. Tujuh lagi DFI berada di bawah pemantau pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Borneo (Sabah), Perbadanan Pembangunan Borneo (Sarawak), Credit Guarantee Corporation, Malaysian Industrial Development Finance, Bank Pembangunan Sabah, Sabah Credit Corporation dan Bank Pembangunan Sarawak Berhad.
  2. Organisasi Pembangunan Usahawan (EDO) termasuk Perbadanan Nasional Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat and Malaysian Technology Development Corporation.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.adfim.com.my.

Mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK))

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau biasanya dikenali sebagai AKPK, ialah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. Kami komited dalam memperkasakan masyarakat – isi rumah dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) – supaya mempunyai tahap kewangan yang kukuh melalui pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan serta khidmat pengurusan kredit yang bertumpukan pelanggan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.akpk.org.my.